Label

Sabtu, 11 Februari 2012

JEPUN TAJA ITU-UUM ANJUR BENGKEL ANIMASI 3D OSS


11 FEBRUARI  2012/ 18 RABIULAWAL1433H
====================================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
           (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh: Nasiha Abdul Rashid
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie


UUM ONLINE: Pusat Kecemerlangan Asia Pasifik Dalam Pembangunan ICT Luar Bandar, International Telecommunication Union, Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) diberi penghormatan menganjurkan Bengkel Perisian Sumber Terbuka (OSS) Animasi 3D, dengan penyertaan peserta dari Thailand, Kemboja, Vietnam, Bangladesh, Yaman dan Malaysia melalui tajaan dana daripada kerajaan Jepun.


Bengkel anjuran bersama Sekretariat ICT ASEAN, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta College of Arts and Sciences,  (UUM CAS) bertujuan membantu menambah pengetahuan penggunaan OSS antara pelajar universiti tahun akhir bagi meningkatkan nilai tambah, kebolehpasaran dan daya keusahawanan graduan ini.


Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, bengkel ini  merupakan satu platform yang sangat berguna bagi pertukaran maklumat, idea dan pengalaman dalam mempromosikan penggunaan Perisian Sumber Terbuka (OSS).

“Saya yakin tempoh dua minggu menjalani bengkel  ini pasti telah memberikan pengalaman dan pengetahuan baru kepada peserta dalam menggunakan perisian komputer yang menyediakan ilusi pergerakan menggunakan satu urutan imej pegun.

“UUM berharap agar ilmu yang berguna ini akan turut dimanfaatkan peserta dengan berkongsi dan menyebarluaskan pengetahuan ini di negara masing-masing, memandangkan kos perisian ini amatlah tinggi, dan kita bertuah kerana mendapat dana tajaan kerajaan Jepun,” ujarnya di Majlis Penutup Bengkel Perisian Sumber Terbuka (OSS) Animasi 3D, baru-baru ini.

Pengarah ITU-UUM, Prof Madya Dr Wan Rozaini Sheik Osman berkata, ini merupakan satu penghormatan besar kepada ITU-UUM kerana diberi peluang menganjurkan bengkel OSS Animasi 3D di kampus UUM dan mempunyai peserta dari rantau Asia Pasifik.

“Sekretariat ASEAN telah memilih cadangan projek ITU-UUM dalam menjalankan latihan Animasi3D OSS dengan pembiayaan dari kerajaan Jepun dan ini menunjukkan kekuatan ITU-UUM dalam menganjurkan dan mengadakan latihan demi pembangunan ICT di luar bandar dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah Dr Wan Rozaini, penggunaan perisian sumber terbuka (OSS) merupakan sebahagian daripada kepentingan dunia IT di abad 21 ini dan penggunaannya telah dapat membantu mengurangkan kos pembelian perisian sama ada untuk kegunaan sendiri, pendidikan atau keperluan perniagaan.

“OSS seperti "Blender" yang mana digunakan dengan meluas dalam industri animasi merupakan satu perisian yang dicari-cari dalam industri ini. “Kita melihat latihan animasi OSS ini telah dapat menarik minat generasi muda dan generasi yang lebih tua untuk melibatkan diri kerana dengan kemahiran ini membolehkan mereka merebut peluang perniagaan dalam industri animasi yang sentiasa berkembang pesat,” jelas beliau.

Sementara itu, peserta bengkel Animasi 3D OSS dari Kemboja, Lonh Thera, 29, berkata pelbagai pengetahuan baru berupaya meningkatkan kemahirannya  setelah mengikuti bengkel ini.

“Saya seronok belajar teknologi baru dan menyertai bengkel ini memberi satu pengalaman berharga buat saya untuk dikongsikan kepada rakan sekerja di Kementerian Telekomunikasi dan Pos, Kemboja,” katanya.

Manakala seorang lagi peserta dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohd Hisyam Hamzah, 25, menjelaskan dirinya beruntung berpeluang mengikuti bengkel yang disediakan secara percuma.

“UniMAP amat menyokong dan menggalakkan penyertaan para pelajarnya untuk mengikuti bengkel ini kerana jika hendak dibeli untuk kegunaan peribadi, harganya agak mahal.

“Saya harap program sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang bagi memupuk minat generasi muda dan supaya mereka lebih mengenali perisian sumber terbuka ini,” katanya.

Sejak penubuhan sebagai pusat kecemerlangan Asia Pasifik dalam bidang Pembangunan ICT di Luar Bandar pada 2007, ITU-UUM telah memainkan peranan penting sebagai satu platform menarik pakar-pakar, pengamal- pengamal industri menerusi forum, seminar, mesyuarat dan perbincangan intelektual demi pembangunan ICT luar bandar.



===============================
DARIPADA:
SEKSYEN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3007/3014/3066/4078
FAKS: 04-928 3016
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my

0 kritikan membina: