Label

Isnin, 5 Disember 2011

UUM Multimedia Juara PROMED@CS,11




UUM ONLINE: Tiga pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS) berjaya menggondol juara Pertandingan Pengaturcaraan dan Reka Cipta Multimedia 2011 (PROMED@CS’11) anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dan Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Perlis.



Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS), Prof Dr Norshuhada Shiratuddin berkata, PROMED@CS’11 merupakan medan bagi menguji, mengukur dan meningkatkan kebolehan pelajar dalam bidang pengaturcaraan komputer dan rekacipta multimedia.


“UUM menghantar tiga pasukan bagi kategori Pengaturcaraan dan dua pasukan bagi kategori Multimedia. Syukur Alhamdulillah, bagi kategori Multimedia, kumpulan jahART berjaya menambat hati juri, seterusnya merebut gelaran juara,” katanya. 


Dr Norshuhada turut mengucapkan tahniah kepada semua pensyarah yang memberi tunjuk ajar, manakala kesungguhan kumpulan jahART yang terdiri daripada pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Multimedia ini sewajarnya dipuji.


Nurul Roazlin Azman, 24, bersama dua rakan sepasukan, Nor Aini Abdul Wahab, 25, dan Nurul Fadzillah Shawaluddin, 24, membawa pulang wang tunai kemenangan sebanyak RM700 beserta sijil.


Nurul berkata, kejayaan pasukan mereka ini menjadi satu suntikan semangat untuk terus berkarya pada masa akan datang menerusi projek reka cipta multimedia.


“Kami memilih tema ‘Kisah Hikayat Kayangan Perlis’ dengan versi bahasa Melayu bagi memenuhi tema projek Multimedia itu sendiri iaitu “Perlis Tourism”.


“Pasukan kami amat bertuah kerana Nor Aini merupakan seorang rakan yang cukup berbakat dalam bidang fotografi yang membolehkan gambar-gambar yang digunakan dalam persembahan multimedia ini menjadi lebih menarik.” katanya.


Pertandingan Pengaturcaraan dan Reka Cipta Multimedia 2011 (PROMED@CS’11) diadakan pada dua hingga empat Disember lalu dengan tema tahun ini “Imaginative-Artistic-Ingenious”, melibatkan penyertaan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpilih.


Penilaian bagi setiap penyertaan dibuat berdasarkan keaslian, kreativiti, interaktiviti, mesej yang disampaikan dan penggunaan elemen multimedia yang digunakan.


Hadiah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.



0 kritikan membina: